Baru-baru ni saya dikejutkan dengan jiran saya, Kak L yang
dikejarkan ke hospital gara-gara sakit buah pinggang. Pada mulanya saya
sangkakan penyakitnya mungkin ditahap awal. Tapi seorang jiran lagi yang
merupakan jururawat di sebuah klinik berdekatan beritahu bahawa penyakit dia kronik iaitu stage ke-3. Saya ni bukan la arif
sangat berkenaan penyakit seperti ini. Malah saya lagi rasa tak percaya bila
penyakit buah pinggang kronik boleh kena pada orang muda seperti Kak L yang
berumur 29 tahun.
Saya teringatkan perkara yang perlu kita ingat sebelum datangnya
5 perkara dan salah satunya adalah sihat
sebelum sakit. Kerana sakit yang datang pada kita secara tiba-tiba tiada
siapa boleh menjangkanya. Semua ini betul menginsafkan saya.
Perkara ini telah disebut oleh Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam dalam sebuah hadis riwayat Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: Ada dua
(jenis) nikmat yang kebanyakkan orang terlalai olehnya, iaitu kesihatan dan
waktu lapang (senggang).
Akhirnya pada hari Ahad yang lepas, saya dan ibu bercadang menziarahi
Kak L di hospital. Pada permulaan rawatan, Doktor telah memasukkan air sebanyak
30 beg air. Manakala pada hari kedua pula 60 beg air.
Dan yang pasti Doktor telah
memberitahu bahawa buah pinggang Kak L tidak boleh berfungsi dan mengecut sebesar
duit syiling 20sen. Saya dan ibu mendengar berita itu terasa sungguh sedih. Saya
terfikirkan diri Kak L dan keluarganya...bayangkanlah apa pula perasaan mereka
ketika itu?
Perbezaan buah pinggang dan duit syiling 20 sen
Memandangkan suaminya seorang warganegara China (Hongkong),
dan masih lagi berkhidmat di sana, maka urusan rumah dan anak-anaknya (1 lelaki
dan 2 perempuan), Kak L yang uruskan. Saya berbisik dalam hati betapa tabah nya
hati dia walaupun berjauhan berbulan-bulan lamanya dengan suami tercinta.
Nasib la ketika dia terlantar di hospital, suaminya ambil cuti
hampir sebulan menemaninya. Mak dan Ayah Kak L pula dah tiada. Mengharapkan kakaknya
sahaja untuk membantu urusan ambil dan hantar anak-anak Kak L ke sekolah.
Tambahan pula suaminya tidak mempunyai lessen memandu. Berjalan kaki sahaja, empat
beranak samada pergi ke kedai membeli makanan dan sebagainya, Sukarnya pada
saya yang melihat. Apatah lagi orang yang menanggungnya. Tambahan, jiran seperti
saya hanya mampu menghulurkan bantuan serba sedikit dan juga sedekah yang tidak
seberapa.
Kawasan kejiranan disini pula bukanlah dari kalangan orang
yang intelek. Yang mana mereka akan berfikir banyak kali untuk menegur dan
bertanya suaminya yang hanya boleh berbahasa cina dan English sahaja. Dan akhirnya
mereka hanya menunggu kedatangan kakak kepada Kak L untuk bertanyakan hal-hal
berkaitan.
Betullah seperti yang dinyatakan dalam ayat Al-Quran Surah al-Anbiya’: ayat 35: Allah Ta‘ala dalam firmanNya telah menyatakan bahawa ujian, cubaan dan dugaan itu datang dalam pelbagai bentuk:
Tafsirnya: Dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
Saya berharap agar Kak L cepat sembuh dan dapat meneruskan
kehidupan seperti ibu-ibu yang lain. Semua ini mungkin ada hikmah yang berlaku
disebaliknya. Moga Allah permudahkan urusan kita, InsyaAllah....