BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Follow me

Sabtu, 20 Mac 2010

Si dia yang curang, tiadalah kesetiaan ...


Saya ada terbaca dalam sebuah laman web mencari jodoh ini...beberapa peristiwa yang mungkin ada persamaan dengan masalah saya yang mungkin boleh dijadikan panduan terutama buat diri saya sendiri dan secara tak langsung membantu juga kepada para pembaca blog ini. Saya sangka website mencari jodoh ini boleh membantu si bujang teruna dan dara untuk bertemukan jodoh. Namun, sangkaan saya meleset sekali, masih juga ada para lelaki yang telahpun mempunyai teman wanita, maupun tunang dan yang paling sedih adalah para suami yang telah mempunyai isteri yang sanggup untuk stay dengan website mencari jodoh tersebut.

Hakikatnya saya tidak menyokong usaha murni website tersebut, namun ada beberapa perkara yang mula menjadi MAIN POINT melenyapkan keresahan saya selama ini dan membuatkan saya bersetuju dengannya. Walaupun alasan yang diberikan oleh website tersebut membuatkan saya lega pada diri, tetapi saya faham dengan keutamaan website tersebut adalah kepada ahli-ahli berbayar yang mengaut berjuta-juta keuntungan dalam satu-satu masa.

Semua ini terpulang kepada diri individu itu sendiri. Website mencari jodoh yang bertujuan begini, sangat banyak sekali dan boleh menjangkau jutaan laman web mencari jodoh jika membuat enjin carian.

Sekiranya setiap lelaki mahupun wanita yang telah mempunyai pasangan itu adalah seorang yang setia dan jujur dalam penetapan pasangan hidupnya. Sudah tentu, jika diberi sejuta lagi laman web mencari jodoh, maka dia tidak akan tergerak hati untuk melibatkan diri dengan cara sebegini.

Ia bukanlah satu masalah kecil atau perkara biasa yang boleh dipandang remeh. Tetapi pendekatan untuk mengatasi masalah ini tidaklah begitu rumit. Sebenarnya perkara ini adalah mudah sekiranya kita hidup kerana Allah swt. Kita harus belajar menerima segala yang Allah swt berikan. Kita mohon jauhi perkara yang buruk. Perjalanan hidup kita ini adalah terlalu singkat untuk kita bermain-main atau melayani perasaan.

Jika kita menonton filem Hindustan, si hero atau heroin akan menangis-nangis meratapi kekasihnya apabila perpisahan berlaku. Atau pun cerita Korea Winter Sonata yang memilukan apabila Jun-sang terlibat dalam kemalangan lalu lupa ingatan. Atau pun P. Ramlee yang menikam matanya sehingga buta kerana kesedihan dalam Ibu Mertuaku- kita harus ingat, itu adalah lakonan dan khayalan.

Dunia sebenar tidak begitu, kehidupan kita tidak ada muzik latar ketika kita suka dan duka. Kehidupan kita adalah untuk diri kita sahaja, ia tidak akan di sebut-sebut seperti filem-filem itu dari mulut ke mulut. Kita harus sedar semua ini.

Seorang wanita yang berjalan di pantai, menendang-nendang pasir, mulutnya menyanyikan lagu pilu, wajahnya sedih, pergerakkannya perlahan dan pandanganya jauh. Pada kita, dia sedang berjalan-jalan dan bersiar-siar, menikmati alam, mungkin menenangkan fikiran dan melupakan kekusutan. Tetapi pada dirinya, dia sedang melakonkan video-clip di alamnya sendiri.

Tiba-tiba datang seorang lelaki kebetulan di situ dan bertanya “hai .. boleh berkenalan ?”, beliau tersenyum. Wajah sedih bertukar ceria. Semua kedukaan di wajah tiba-tiba hilang begitu sahaja, kerana beliau sedari rupanya video-clipnya sedang ditonton, mendapat perhatian. Kedua-duanya terus berkenalan. Artis telah bertemu peminat.

Semua itu adalah khayalan dan ia memudaratkan. Khayalanlah yang membuat banyak empayar-empayar besar terdahulu jatuh. Khayalan juga mampu membuat diri kita jatuh.

Kecintaan kita kepada seseorang tidak boleh melebihi kecintaan kita kepada tuhan, kepada Rasulullah saw. Sekiranya anda boleh menitiskan air mata kerana kehilangan kekasih yang tersayang, bolehkah kita tersesak-esak dan tersedu dengan perasaan yang serupa ketika meneliti Sirah Nabawi, membaca bagaimana susahnya Rasulullah saw berusaha menyampaikan dakwah, mengenang saat wafatnya Nabi.

Ada. Mungkin tak ramai. Mereka yang mampu menitiskan air mata ketika mengenang Rasulullah saw adalah mereka yang tidak hirau lagi dengan kekurangan dan kehilangan di dunia, apatah lagi kehilangan seorang kekasih yang boleh dicari ganti.

Sekiranya kita berusaha untuk menghayati dan mendalami Islam, menyayangi Rasulullah saw, mencintai Allah. Dengan izinNya kita tidak akan mudah melatah dalam hal-hal sebegini.

Saya mengenali seorang lelaki yang pernah beristeri dua. Namun selepas itu isteri keduanya telah diceraikan. Yang menarik perhatian saya adalah gelagat isteri pertamanya, yang mengikut ceritanya, hanya berdiam diri dan meningkatkan ibadah setiap hari ketika perkara itu berlaku.

Pergaduhan hanya berlaku pada peringkat awal. Selepas itu isteri pertamanya itu sedar yang dirinya tidak lagi lawa, tidak lagi mampu memberi keseronokkan kepada suami. Dia bertindak mengubah dirinya, bukan menjadi pesaing madunya tetapi berubah mendekati Allah dan RasulNya. Hidupnya menjadi lebih bahagia.

Akhirnya, keseronokkan yang dicari oleh sang suami pada isteri mudanya telah kehabisan. Dia mula mencari wanita ketiga. Tetapi mengikut katanya, dia merasa bahagia apabila pulang ke rumah isteri pertama setiap minggu. Ternyata bahagia dan keseronokkan adalah dua perkara yang berbeza dan kebahagiaan hanya boleh dicapai apabila kita mencintai agama kita.

Dengan kudrat tuhan, akhirnya dia berpisah dengan isteri mudanya, kerana sebab-sebab tertentu yang tak perlu saya ceritakan. Hari ini lelaki itu adalah seorang suami dan bapa yang penyayang. Semua itu terbit dari diri seorang wanita yang membahagiakan.

Pendekkata, sekiranya ada di antara isteri atau tunang yang menghadapi masalah sedemikian. Mohonlah ampun kepada Allah banyak-banyak, belajar mencintai Islam, Allah dan RasulNya. Lupakan diri si dia seketika, mulalah membaca kitab suci sebagai mengisi masa.

Sekiranya bercita-cita untuk menjurus kepada perkara kurafat, bomoh, sihir dan sebagainya, batalkan sahaja niat anda. Sebaliknya tanamkanlah cita-cita untuk berdoa di hadapan Kaabah. Nescaya di sana lebih berkat dan mustajab. Berusahalah ke arah itu. Mudah-mudahan apabila anda sampai ke sana anda tidak lagi mengingati si dia.

Kemudian dalam masa yang sama berbincanglah dengan si dia, nasihatilah si dia dan biarkan si dia dengan dunianya.

Sekiranya si dia insaf, ikhlas memohon maaf, maka maafkanlah dirinya dan terimalah dia kembali dengan baik. Bersyukurlah kerana dugaan Allah telah tamat.

Sekiranya ditakdirkan kita berpisahnya dengan pasangan kita itu, terimalah dengan hati yang terbuka. Kerana kehilangan dirinya telah diganti dengan iman di dada.

0 comments: